Pengalaman Pertama Menghadiri Team Building Supermom 2017 (Siri ke 2)


Hari ke dua (19.03.2017)

Sambungan dari siri pertama, acara mencari harta karun. Sememangnya sangat mencabar minda dan juga tenaga apabila setelah penat menjalankan aktiviti di padang, kami menjalankan acara terakhir sebelum berhenti rehat iaitu mencari harta karun, ia tidak semudah yang disangka kerana ada sepuluh soalan dan aktiviti yang perlu dilakukan yang menguji fizikal dan mental.

Ini termasuklah soalan teka teki, memukul bola dengan dahan kayu sehingga masuk ke dalam baldi, membina puzzle kayu menjadi segiempat sama dan juga mencari beberapa bahan lain seperti yang diminta oleh urus setia. Setelah dapat menjawab semuanya, kami berhenti rehat dan makan tengahari. Ternyata menu ayam goreng dan masak lemak udang cukup menyelerakan masing-masing yang kelaparan ni.

Selepas pulang ke bilik sebentar untuk berehat dan solat, acara diteruskan dengan acara air. Melihat cuaca yang mendung, urus setia menjalankan aktiviti kayak menggunakan pelampung yang dibina dari tayar getah dan papan. Pertandingan antara 4 kumpulan dijalankan. Walaupun sekadar permainan, masing-masing menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk menang.

Macam Azie ni, fobia air. Jadi jangan ditanya kenapa sekadar di pinggiran. Masing-masing enjoy malah mencabar diri untuk mengayuh kayak yang memerlukan tenaga tangan yang kuat. Setelah tamat acara kolam, acara terakhir yang mewajibkan semua orang basah. Ingatkan terselamat dari masuk ke dalam air, rupanya acara ni wajib basah.

Setiap kumpulan diberikan sebatang tiang tinggi yang berlubang. Dengan menggunakan kaki dan tangan kesemua ahli kumpulan, kami akan berusaha menutup kesemua lubang tersebut bagi membolehkan sebiji bola pingpong dalam tiang tersebut terapung dan keluar. Manakala seorang ahli akan mencedok air dari kolam yang juga menggunakan baldi kecil yang berlubang.

Waktu inila, semua orang yang memegang tiang tersebut akan basah disiram oleh pembawa baldi tadi. Matlamat untuk mengeluarkan bola pingpong tersebut dengan menutup lubang kecil yang berlubang dari tiang itu menunjukkan yang segala halangan mesti ditempuhi untuk mencapai peringkat tertinggi.

Sebaik sahaja tamat acara ini, pihak jurulatih memberikan sedikit review dari sudut permarkahan dan keletihan dan rasa ingin berehat. Walaupun begitu masih ada sesi kumpulan kecil bersama kumpulan Ultimate. Selepas mandi dan solat asar, kami membuat sedikit perbincangan.

Acara malam juga meriah. Malam Akustika di samping acara BBQ kambing bakar dan ayam. Acara makan-makan dan melihat persembahan dari peserta yang menyanyi. Ada 5 orang yang menunjukkan bakat masing-masing. Selepas itu, Supermom dan Superdad juga perlu menyanyi di depan. Masing-masing perlu membuang perasaan malu kerana sememangnya ini satu latihan untuk bercakap di depan orang ramai.

Jangan sangka selepas makan kambing bakar boleh balik tidur yer. Acara perbincangan di dalam bilik kuliah masih diteruskan selepas makan. Biarpun kepenatan, masing-masing menahan diri. Tujuan utama untuk hadir ke sini juga ialah menjalankan aktiviti perbincangan mencari cara meningkatkan jualan group masing-masing.

Paling ditekankan dalam perbincangan ialah S.W.O.T.

1. Strength (kekuatan) – setiap ahli mempunyai kekuatan tersendiri. Oleh itu, sangat penting untuk kenalpasti kekuatan diri sendiri dan berikan 100% tumpuan kepada kekuatan.

2. Weakness (Kelemahan) – kelemahan diri juga sesuatu yang normal. Jika kita tau di mana kelemahan diri, perlu cari cara untuk atasinya. Jika tidak, kelemahan tersebut akan membuatkan kekuatan diri juga menjadi lemah.

3. Oppptunity (kelebihan) – gunakan peluang yang ada. Berada di bawah organisasi besar seperti supermom ini sebenarnya memberikan banyak peluang seperti disediakan bilik latihan secara percuma. Malah pihak Shaklee sendiri sering kali membuat pelbagai acara untuk memantapkan ilmu di kalangan ahli. Peralatan perniagaan seperti kit perniagaan baru juga disediakan untuk kemudahan ahli. Hanya perlu jalankan saja.

4. Treat (ancaman) – ancaman dari luar seperti permainan harga di antara ahli, penjualan produk Shaklee secara terbuka sedangkan ia hanya boleh dilakukan secara jualan langsung sahaja. Ada juga stok vitamin yang sering kehabisan stok membuatkan pelanggan tidak mahu menunggu dan mencari produk lain. Biarpun begitu, ahli sendiri harus sentiasa mencari ilmu produk kerana boleh cadangkan produk lain jika ada yang kehabisan stok.

Hari ke tiga (20.03.2017)

Akhirnya sudah sampai hari terakhir kami berkampung di sini. Acara pagi dimulakan dengan sukaneka bersama keluarga. Pada awalnya acara dirancang di padang tetapi akibat hujan, acara cuma dijalankan di dalam dewan sahaja. Empat kumpulan dibentuk yang bercampur ibu bapa dan anak. Anak-anak kecil juga tidak dikecualikan. Ia memberikan keseronokan kepada anak-anak kecil ini.

Beberapa acara dijalankan seperti membawa  bola pingpong dalam sudu, bawa getah gelang dengan staw di mulut, permainan ‘Hoi Ya Hoi’ dan tiup gula-gula dalam tepung. Paling seronok pastinya anak-anak yang sentiasa memberikan kerjasama yang baik. setelah acara tamat, pemberian hadiah kepada pemenang. Biarpun hadiah hamper yang sama untuk setiap kumpulan tetapi semuanya memberikan tentangan yang hebat.

Acara penutup dengan rakaman lagu raya dan ucapan raya. Masing-masing memang melaram dengan baju raya sedondon sekeluarga. Cuaca yang agak panas tidak menjadikan alasan untuk tidak bekerjasama. Kemudian terus dilakukan acara penutup dan penyampaian sijil oleh master Hadhatina.

Semoga tahun depan dapat sertai lagi.





Comments

Popular posts from this blog

Krim Jeragat Paling Berkesan Di Farmasi Kegemaran Anda.

Masalah Kencing Kotor Di Dalam Pantang – Pengalaman Ngeri Ibu

Omega Guard Untuk Mereka Yang Nak Kulit Cantik Dan Pinkish